Hari Raya Aidilfitri 1444 kali ini banyak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tenung-tenung di sekeliling ramai yang berkongsi pendapat yang sama, lain macam sungguh!
Masuk 10 Ramadan terakhir sepatutnya dipacu untuk merebut Lailatul Qadar dengan memperbanyak amalan, meriah dengan dentuman mercun.
Jika budak-budak dikata terkurang didikan tetapi kalau sudah dewasa dan tua bangka, alasan apa agaknya yang hendak digunapakai?
Andai itulah dinisbah kepada ukuran kemeriahan yang menjadi neraca kepada kejayaan melawan nafsu selama sebulan dan saat- saat untuk meraikan hari kemenangan, ia memberi petanda ada sesuatu yang tidak kena dalam pemikiran ruang lingkup masyarakat Islam khususnya orang Melayu di negara ini.
Lagikan sejak diharamkan lebih 25 tahun lalu, ramai yang secara terbuka membakar ‘duit’ untuk melampiaskan nafsu bermain dengan mercun, inikan pula selepas pengharamannya ditarik balik pada awal Februari lepas.
Keputuan Kerajaan Perpaduan ‘menghalalkan’ semula semula pembakaran mercun kerana mengambil kira secara pukul rata, ia sebagai budaya Malaysia tidak dapat diterima bulat-bulat.
Kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang kebenaran yang diberikan tertakluk kepada permohonan lesen dan duti import serta garis panduan dan peraturan dilihat amat longgar terhadap pengawalan pembakaran mercun dan bunga api.

“Tak kira Tahun Baru Cina, Hari Raya Aildilfitri, Deepavali malah Krismas pun orang main mercun.
“Kabinet mengambil keputusan itu bagi mengawal standard keselamatan produk yang boleh mengakibatkan kemalangan selain membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan berjumlah jutaan ringgit.
“Saya jangka pendapatan kerajaan akan bertambah. Ratusan juta RM duti akan dapat daripada pemegang lesen,” kata beliau sewaktu membuat pengumuman itu.
Kenyataan itu secara terang-terangan menampakkan ia diambil kerana ‘mata duitan’ satu keputusan yang tidak melihat secara mikro terhadap elemen kesejahteraan dan keharmonian kaum.
Dari awal lagi, kebenaran yang diberikan mencetuskan polemik dengan satu lagi portfolio yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, khususnya polis yang bertanggungjawab secara langsung mengawal ketenteraman awam.
Sebelum ini arahan larangan bermain mercun dan bunga api diputuskan kerajaan pada 1995 di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebaik ditanya mengenai reaksinya mengenai pengumuman yang dibuat Kor Ming menjelaskan pihaknya akan mengikuti apa jua garis panduan dan dasar yang ditetapkan KDN berikutan pelaksanaan perkara tersebut demi menjamin keselamatan orang ramai.
Sebagai salah seorang tonggak penting yang menjaga keamanan dan keselamatan negara, beliau mengakui hanya mendapat tahu mengenai perkara itu.
Aidilfitri menjadi lapangan pertama pada musim perayaan di mana pembakaran mercun dan bunga api dibuat secara terbuka.
Dalam isu ini, sebelum mengumumkan pemansuhan pengharaman, kerajaan sepatutnya memikirkan secara mendalam mekanisma bagi memastikan ia tidak mendatangkan mudarat yang menimbulkan rasa kurang senang mereka yang lain.
Analoginya cukup mudah, bila dapat kebenaran membakar mercun khususnya, ‘bendalah’ itu bukan dibakar di dalam rumah atau perkarangan rumah, semestinya di tempat terbuka atau kawasan awam.
Dalam bahasa kasarnya, laksanakan di tempat tertentu berhampiran dengan lokasi mereka yang melihat ‘penghalalan’ mercun mampu membawa jutaan ringgit kepada pendapatan negara!. Bukannya di merata-rata.
Penulis percaya ramai yang ingin menikmati perayaan dalam keadaan yang ‘aman’ khususnya warga emas.
Telah berbuih budayawan Melayu dan agamawan Islam menegur amalan membazir ini, namun dengan penarikan balik pengharaman, kritikan hanya akan menghabiskan air liur.
Ramai yang merungut dengan kenaikan barang-barang tetapi bila bab membakar mercun tidak pula membantah.
Terang-terangan perbuatan itu suatu pembaziran dan semuanya tahu betapa dalam Islam, ia sesuatu yang dilarang keras.
Mana perginya pemahaman, membazir amalan syaitan? Orang yang membazir adalah saudara syaitan dan sebagainya.
Sama-sama bermuhasabah, ke mana perginya latihan selama berlapar, berdahaga, mengawal dan menahan nafsu sepanjang berpuasa.
Di penghujungnya, secara tidak sedar ‘berpeel’ macam syaitan dengan membakar duit yang tidak membawa sebarang manfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan umat.
Jangan lupa ketika berseronok mendengar dentam-dentum. Di negara saudara kita yang berkonflik seperti di Palestin, Syria, Yemen dan terkini Sudan, bunyi itu menjadi sesuatu yang trauma.
Mereka di sana berdoa siang dan malam memohon keamanan serta kesejahteraan, di sini ketika meraikan kedatangan Syawal, ramai yang seakan meminta-minta bunyi seperti itu menjadi pelengkap Aidilfitri.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source