Tahun lalu Oppo telah memperkenalkan siri Reno8 termasuklah untuk pasaran Malaysia. Terdapat tiga variasi model disediakan yang merangkumi Oppo Reno8, Reno8 Pro dan Reno8 Z 5G. Dengan fokus yang sama, kesemua peranti mengetengahkan sistem pengimejan mudah alih menarik dengan ciri dan fungsi yang pelbagai.

Meneruskan legasi, Oppo Reno8 T 5G telah diperkenalkan pada tahun ini dengan kamera beresolusi tinggi 108MP, yang pertama digunakan dalam siri Reno mereka. Tetapi pemprosesan yang digunakan pula serupa dengan Reno8 Z 5G sebelum ini. Adakah berbaloi untuk anda dapatkan peranti ini? Mari kita lihat menerusi artikel ulasan di bawah.
Spesifikasi Dan Rekaan
Oppo Reno 8T 5G | |
---|---|
Skrin | 6.7” AMOLED FHD+, Warna 10-bit, 120Hz |
Pemproses | Snapdragon 695 5G (6 nm) |
Cip | 2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver |
Cip Grafik | Adreno 619 |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 256GB ROM |
Kamera Utama | 108MP – (utama), PDAF 2MP – (kedalaman) 2MP – (makro) |
Kamera Swafoto | 32MP |
Bateri | 4800mAh Pengecasan 67W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari di sisi & wajah |
Harga Jualan | RM1799 |
Dari segi rekaan, Oppo Reno8 T 5G membawakan perbezaan dengan peranti melengkung sepenuhnya dengan tubuh plastik dan bingkai aluminium. Sisi peranti juga membulat bertujuan memberi keselesaan berpanjangan sewaktu di genggaman tangan. Kami juga tidak mempunyai masalah untuk mengendalikannya disebabkan amat selesa pada tangan mahupun disimpan di dalam poket seluar. Kesemuanya sedap sahaja mata memandang dengan tampilan moden dan minimalis yang menggunakan material berkilat. Misalnya seperti Reno8 T Sunrise Gold dengan rekaan Oppo Glow yang pernah kami kongsikan dalam artikel pandang pertama.

Ia menggunakan kemasan dwi-matte berkilauan seperti berlian yang cukup cantik. Warna yang dipantulkan juga boleh berubah-ubah mengikut sudut pandangan. Pun begitu, ini tidak bererti bahawa pilihan warna lain langsung tidak menarik di mata kami. Reno8 T Midnight Black yang kami terima untuk artikel ulasan ini juga masih cantik di pandang mata. Cuma temanya di sini lebih minimalis dengan warna hitam menyeluruh tanpa kebolehan pantulan warna yang boleh berubah. Panel belakang juga sejenis matte yang berkilauan.

Selanjutnya panel belakang ini juga memperlihatkan dua bonggol kamera dengan sistem tri-kamera untuk kedua-dua peranti. Satu lensa besar mendominasi pada bonggol kamera di bahagian atas dengan dua lagi lensa diletakkan berasingan dalam bonggol di bawah.

Susun atur butang standard ditempatkan pada kedudukan yang mudah dicapai. Butang kuasa boleh ditemui pada sebelah sisi kanan. Sisi kiri pula menempatkan butang laras audio dengan binaan yang kukuh. Kedudukan slot SIM pula berada di bahagian bawah tanpa kad mikroSD. Port USB-C dan pembesar suara juga boleh ditemui pada sisi yang sama.
Tiada lubang untuk bicu audio 3.5mm yang ditemui pada peranti menjadi kekurangan paling ketara. Sekaligus memaksa pengguna untuk mengeluarkan wang tambahan bagi mendapatkan aksesori tambahan atau fon telinga nirwayar.

Secara keseluruhan rekaan kedua-dua peranti ini sederhana, praktikal dan seimbang dengan terdapatnya kriteria peranti yang premium. Rekaan dua bonggol kamera juga telah diubah suai sedikit berbanding beberapa peranti sebelum ini bagi menjadikannya lebih kemas. Sayang seribu kali sayang, peranti tidak pula melepasi sebarang penarafan kalis air menjadikan penjagaan yang rapi amat diperlukan.
Prestasi Skrin
Skrin hadapan pula sepenuhnya daripada keluarga panel AMOLED dengan resolusi FHD+. Dalam masa sama, saiz bezel seimbang pada keempat-empat sisi juga dirasakan sesuai buat pengguna yang begitu mendambakan simetri. Terdapat juga kadar segar semula tinggi 120Hz yang diberikan namun ia pastinya mengakibatkan penggunaan bateri yang banyak pada peranti. Ia bagaimanapun boleh diatasi dengan ciri standard (60Hz) menerusi tetapan yang membenarkan skrin hanya berfungsi pada kadar 60Hz sepanjang masa. Hal ini amat membantu menjimatkan bateri lalu membolehkan peranti boleh digunakan lebih lama.

Seperti yang boleh diharapkan daripada panel jenis AMOLED, skrin sudah tentunya mempunyai kontras, penghasilan semula warna dan sudut tontonan yang baik. Pengalaman ini bertambah baik apabila skrin juga mempunyai sokongan kedalaman warna 10-bit yang mampu memaparkan paparan sehingga 1.07 billion warna. Kebolehan kadar segar semula 120Hz juga berfungsi dengan baik dalam memberi pengalaman tatalan yang lancar tanpa isu melampau. Tidak kiralah sewaktu peranti digunakan untuk aktiviti harian biasa atau sesi permua.

Bertambah baiknya lagi apabila peranti juga menyokong pembesar suara stereo dengan sokongan Ultra Volume Mode. Sokongan cukup menarik yang membolehkan tahap audio ditingkatkan mencapai tahap 200%. Benar, anda tidak salah baca ianya boleh mencapai tahap 200%. Pengalaman peribadi kami mendapati audio mampu ditingkatkan dengan lebih kuat dan jelas berbanding biasa. Di mana kitaran peratusan peningkatan melibatkan antara 30 – 50% lebih kuat.
Perkakasan Dan Perisian
Oppo Reno8 T 5G menggunakan Android 13 dengan pelancar ColorOS 13 terkini. Secara umumnya pelancar ColorOS boleh dikatakan mempunyai reputasi yang baik dari segi kelancaran dan mudah digunakan. Sebahagian besar ciri terbina juga dioptimasikan dengan baik. Seterusnya anda juga boleh menetapkan tetapan tertentu mengikut keperluan semasa. Menariknya lagi ciri pemantauan bateri dan pengecasan yang mendalam turut disertakan secara terbina. Ini bagi membolehkan anda menyemak tahap kesihatan bateri sama seperti pengalaman sebuah peranti iPhone.



Seterusnya kita bergerak ke bahagian cip pemproses pula, di mana Snapdragon 695 berteknologi 6nm digunakan. Ini dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB tanpa sokongan kad mikroSD. Seandainya mahukan lebih pilihan, peranti juga menyokong ciri Expension RAM dengan pilihan penambahan 4GB, 6GB dan 8GB RAM secara maya. Dengan ini, anda akan mempunyai sehingga 16GB RAM bagi membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan serentak.

Dalam penggunaan harian mencapai seminggu, kami mendapati peranti mampu berfungsi seperti biasa tanpa isu yang serius. Dari segi prestasi permua pula, kebanyakan boleh dimainkan dengan lancar dan baik pada tetapan sederhana. Seterusnya isu panas melampau juga tidak berlaku pada peranti meskipun digunakan untuk beberapa sesi permua. Sebaliknya ia hanya menjadi suam sahaja. Berikut kami sertakan juga kutipan penanda aras Geekbench dan AntutuBench 3D untuk peranti :
Geekbench 5
- Oppo Reno8 T 5G – 686 / 2004
- Poco X5 Pro 5G – 781 / 2892
- Honor X9a 5G – 649 / 1897
Antutu 3D
- Oppo Reno8 T 5G – 373,259
- Poco X5 Pro 5G – 529,942
- Honor X9a 5G – 398,566
Kualiti Kamera
Seperti yang diberitahu sebelum ini, kamera dengan sensor 108MP menjadi salah satu ciri utama untuk kali ini. Menurut Oppo, ini merupakan peranti terawal yang menggunakan ciri tersebut dalam siri Reno. Kemudian tiada sensor ultra-lebar khusus yang diberikan, sebaliknya peranti menyediakan dua sensor 2MP untuk kedalaman dan ciri mikroskop dengan zum sehingga 40X. Selanjutnya terdapat juga mod HDR terbina yang boleh diaktif/dimatikan secara manual jika perlu. Jadi bagaimana dengan kualiti gambar?

Kebanyakannya boleh dikatakan baik dalam pelbagai keadaan berbeza. Misalnya gambar yang diambil menerusi kamera 108MP memberi hasil cukup terang dan tajam dengan warna nampak hidup. Keadaan berbeza pula apabila ciri AI Scene Enchancement diaktifkan, di mana ia menaikkan lagi kontras pada gambar lalu menjadikannya lebih cerah dengan kesan warna yang tepu.
Ini sesuailah buat anda yang begitu gemar mengambil gambar dengan warna yang menonjol tanpa suntingan tambahan. Tidak dinafikan masih nampak cantik dan baik, tetapi tidak setepat warna yang boleh dilihat dengan mata kasar dalam dunia sebenar.




Seterusnya gambar yang diambil dalam kawasan tertutup pula menjadi lembut. Begitu juga gambar pada waktu malam yang tidak setajam gambar yang diambil dalam pencahayaan cukup. Masalah hingar juga boleh dilihat dengan jelas dalam sesetengah keadaan. Ini berbeza sekali dengan prestasi Reno8 Pro yang pernah kami ulas sebelum ini. Hal ini bagaimanapun tidak adil untuk dibandingkan kerana Reno8 Pro mempunyai cip ISP Marisilicon X yang diketahui memberi fokus terhadap kawasan pencahayaan rendah. Sedangkan Reno8 T pula langsung tidak diberikan sokongan cip tambahan berkenaan.



Selanjutnya kamera kedalaman 2MP boleh digunakan seperti biasa dengan penghasilan semula imej yang boleh diterima. Fungsi Protrait Mode yang diberikan boleh dilaras mengikut kesesuaian. Terdapat juga ciri AI Color Potrait diberikan, di mana selari dengan fokus peranti terhadap tangkapan gambar potrait.
Ciri mikrolens disertakan juga menarik. Kalau anda masih ingat, ciri ini turut boleh dijumpai pada salah satu peranti mercu mereka, iaitu Oppo Find X3 Pro. Bezanya sokongan zum pada Reno8T mencapai 40X berbanding 60X pada Find X3 Pro.


Menarik memang menarik. tetapi cuba anda mengaku. Berapa ramai diantara kita yang memerlukan ciri mikrolens ini dalam penggunaan harian biasa? Berapa ramai yang benar-benar menggunakannya secara kerap? Kurang sama sekali bukan? Justeru pada kami, rasanya lebih baik lagi jika Oppo menggantikannya dengan kamera ultra-lebar khusus yang lebih banyak fungsinya untuk pengguna. Misalnya seperti tangkapan gambar berkumpulan yang melibatkan kelompok individu yang ramai.

Ketahanan Bateri
Prestasi bateri 4,800mAh yang digunakan adalah sederhana. Bacaan SOT yang diterima boleh mencapai 6 jam dengan kitaran penggunaan yang sederhana dan skrin 120Hz. Kesemua ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti melayari web, menatal media sosial, mengambil gambar dan bermain permua untuk beberapa sesi. Kebergantungan capaian pula melibatkan sambungan LTE dan Wi-Fi.
Ketahanan ini bagaimanapun bergantung pada penggunaan masing-masing, dalam masa sama ia juga boleh menjadi lebih lama sekiranya kekal digunakan pada ciri standard dengan skrin 60Hz sepanjang masa. Proses pengecasan semula pula mengambil masa kurang daripada 1 jam menggunakan pengecas dengan kuasa output 67W. Oppo juga menyediakan kepala pengecas dengan setiap pembelian.
Peranti Pesaing
Oppo Reno 8T 5G | Honor X9a 5G | Poco X5 Pro 5G |
6.7” AMOLED FHD+, Warna 10-bit, 120Hz | 6.67″ AMOLED FHD+ (1080 x 2400 piksel), 90Hz | 6.67″AMOLED FHD+ (1080 x 2400 piksel), 120Hz |
Snapdragon 695 5G (6 nm) 2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver | Snapdragon 695 5G (6 nm) 2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver | Snapdragon 778G 5G (6 nm) 1 x 2.4 GHz Cortex-A78 3 x 2.2 GHz Cortex-A78 4 x 1.9 GHz Cortex-A55 |
Adreno 619 | Adreno 619 | Adreno 642L |
8GB RAM 256GB ROM | 6GB RAM 256GB ROM | 6 / 8GB RAM 128 / 256GB ROM |
108MP – (utama), PDAF 2MP – (kedalaman) 2MP – (makro) | 64MP – (lebar), PDAF 5MP – (ultra-lebar) 2MP – (makro) | 108MP – (lebar), PDAF 8MP – (ultra-lebar) 2MP – (makro) |
32MP | 16MP | 16MP |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Bicu audio |
Audio stereo | Audio mono | Audio stereo |
4,800mAh Pengecasan 67W | 5,100mAh Pengecasan 44W | 5,000mAh Pengecasan 67W |
RM1,799 (8GB/256GB) | RM1,499 (6GB/256GB) | RM1,399 (6GB/128GB) RM1,499 (8GB/256GB) |
Reno8 T 5G Dan Reno8 T 4G
Telefon Pintar | ||
---|---|---|
Nama Model | Oppo Reno8 T 5G | Oppo Reno8 T 4G |
Paparan | 6.7” AMOLED FHD+, Warna 10-bit, 120Hz | 6.43” AMOLED FHD+, 90 Hz |
Pemproses | Snapdragon 695 5G (6 nm) | MediaTek Helio G99 (6 nm) |
CPU | 2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver | 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver |
GPU | Adreno 619 | Adreno 610 |
RAM | 8GB | 8GB |
Storan Dalaman | 256GB | 256GB |
Kamera Utama | 108MP – (Utama) 2MP – (Kedalaman) 2MP – (Makro) *Zum Digital sehingga 20X *Mikrolens sehingga 40X | 100MP – (Utama) 2MP – (Kedalaman) 2MP – (Makro) *Zum Digital sehingga 20X *Mikrolens sehingga 40X |
Kamera Depan | 32MP | 32MP |
Bateri | 4800mAh Pengecasan Pantas 67W | 5000mAh Pengecasan Pantas 33W |
Sim/Telefoni | Nano SIM + Nano SIM | Nano SIM + Nano SIM |
Sistem Imbasan | Imbasan Cap Jari & Wajah | Imbasan Cap Jari & Wajah |
Harga Jualan | RM1,799 | RM1,399 |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :
- 1 x Oppo Reno8 T 5G
- 1 x Kepala Pengecas 67W.
- 1 x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Secara umumnya Reno8 T 5G ialah sebuah Reno8 Z yang dipersembah semula ke dalam saiz tubuh dan sensor kamera yang dipertingkatkan. Prestasi pula sederhana dengan cip Snapdragon 695. Tetapi rekaan peranti yang dilihat moden dan menonjol, semestinya mampu menarik perhatian sebilangan pengguna. Khususnya kaum wanita yang kerap mendambakan sesuatu yang cantik dipandang mata.

Peranti juga seimbang dengan spesifikasi kamera dan ketahanan bateri di tahap yang boleh diterima. Perlukah anda membelinya satu? Jawapannya adalah bergantung kepada bajet kerana harganya agak tinggi iaitu RM1,799. Begitu juga dengan apa keperluan anda untuk sesebuah telefon pintar.
Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya sekarang dengan harga jualan RM1,799. Atau sebagai pilihannya terdapat juga Reno8 T dengan sokongan 4G yang berharga lebih murah iaitu RM1,399. Bezanya peranti 4G menggunakan cip MediaTek Helio G99, bateri lebih besar 5,000mAh dan kamera utama pula 100MP.
Pro
- Rekaan yang sederhana, praktikal dan seimbang.
- Skrin AMOLED dengan kadar segar semula tinggi
- Kamera 108MP bersama ciri fotografi & video pelbagai.
Kontra
- Sensor kedalaman dan makro sekadar gimik.
- Perkakasan dalaman menyerupai generasi sebelum ini.
- Harga kurang kompetitif untuk spesifikasi ditawarkan.

Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source link