Siri peranti Microsoft Surface ialah siri peranti pejabat dan pembelajaran yang memfokuskan kepada gabungan produktiviti dan juga estetik premium menggunakan komponen-komponen yang cukup berkuasa untuk kegunaan seharian.

Microsoft Surface Laptop 5 ialah komputer riba generasi kelima yang dibangunkan sendiri oleh Microsoft dan pada model kali ini, kami telah diberi peluang untuk menguji model komputer riba terbaru ini yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-12 siri-U.
Microsoft Surface Laptop 5 | |
---|---|
Skrin | PixelSense 15 inci (2496 x 1664) |
CPU | Intel Core i7-1255U |
GPU | Intel Iris Xe |
RAM | 16GB DDR4 |
Storan | 512GB M.2 NVMe PCIe |
Kamera Utama | 1080p Infra Merah |
I/O | 1 x USB 3.2 Gen 2 Type-A 1 x Thunderbolt 4 Kunci Kensington |
Bateri | 47.4 WHr Pengecasan 65W |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6e |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Wajah Windows Hello |
Harga Jualan | RM9399 |
Skrin
Paparan skrin siri peranti Microsoft Surface, iaitu PixelSense boleh dikatakan adalah diantara paparan skrin yang paling cantik yang dapat dilihat pada sebuah peranti yang menggerakkan sistem operasi Microsoft, dan dengan model Surface Laptop 5, pengguna diberi pilihan paparan bersaiz 13.5 inci dengan resolusi 2256 x 1504 ataupun model 15 inci dengan resolusi 2496 x 1664.

Sama seperti kesemua peranti-peranti mereka, paparan skrin ini hadir dengan nisbah paparan 3:2 yang menyerupai sebuah kertas A4. Kesemua model Surface Laptop 5 juga hadir dengan skrin sesentuh dan ini memberi pengguna pilihan untuk menggunakan komputer riba ini secara tradisional ataupun mahukan akses kepada sesuatu fail ataupun melakukan sesuatu tindakan dengan lebih cepat.

Seperti biasa, olahan warna paparan PixelSense ini adalah sangat jitu, cantik dan ranggi dan ia dapat diperlihat daripada hampir semua sudut paparan ini, mungkin kecuali apabila silauan cahaya memantuli permukaan berkilat paparan ini.
Dengan nilai kecerahan sekitar 500 nit, paparan skrin PixelSense pada Surface Laptop 5 ini juga cukup terang untuk memaparkan skrin yang terang benderang walaupun nilai kecerahannya ditetapkan pada nilai sekitar 50 peratus sahaja.

Tidak kira jenis peranti Surface yang diperlihatkan, paparan PixelSense ini tidak pernah mengecewakan, cuma mungkin jika anda seorang yang sering menggunakan fungsi sesentuh kerana permukaan paparan yang berkilat tersebut akan memerangkap cap jari dan kesan kotoran dengan mudah.
Oh ya, paparan PixelSense ini juga masih lagi hanya mempunyai kadar segar semula 60Hz yang mungkin adalah terlalu perlahan untuk penggunaan moden walaupun ia hanya untuk tujuan produktiviti.
Rekabentuk
Rekaan komputer riba Microsoft Surface Laptop 5 masih lagi menggunakan logam aluminium walapun peranti Surface Pro dan Surface Go diperbuat daripada magnesium.

Aluminium lebih berat berbanding dengan magnesium, tetapi ini membolehkan komputer riba ini hadir dengan sejumlah warna yang berbeza seperti Platinum, Graphite, Sandstone, dan Sage, tetapi penawaran ini hanya diperlihatkan pada model 13.5 inci. Untuk model 15 inci, hanya penawaran Platinum dan Graphite diperlihatkan.
Ya, berbanding dengan beberapa komputer riba lain pada saiz yang sama, Surface Laptop 5 mungkin berasa lebih berat, tetapi rekaan minimalisnya yang tiada bucu tajam dan permukaan yang serba licin memberikan rupa elegan dan premium yang tidak banyak jenama lain mampu tandingi.

Satu perkara juga yang saya benar-benar suka mengenai komputer riba ini ialah bagaimana bahagian paparannya boleh dibuka menggunakan satu tangan sahaja dengan mudah dan bahagian bawahnya tidak terangkat apabila anda melakukannya.

Digabungkan dengan permukaan pad sesentuh yang diperbuat daripada gelas, rekaan komputer riba Microsoft Surface Laptop 5 ini boleh saya katakan ialah setaraf dengan komputer-komputer riba seperti MacBook Pro dan juga Dell XPS.
Papan Kekunci
Papan kekunci mana-mana peranti Microsoft Surface adalah sangat selesa digunakan, dan ia tidaklah terlalu berbeza dengan komputer riba Surface Laptop 5. Ia mempunyai saiz kekunci dan juga kedalaman yang membuatkannya selesa digunakan walaupun apabila saya menaip untuk jangkamasa yang lama.

Ia juga mempunyai sistem pencayahaan latar yang membolehkannya dilihat dengan mudah dalam keaaan gelap, tetapi tidak begitu cerah dimana ia menyakitkan mata ketika anda sedang menaip.
Secara jujurnya, bagi saya, walaupun papan kekunci Surface Laptop ini sangat selesa digunakan untuk menaip, jarak diantara kekuncinya yang sedikit jauh dari biasa menyebabkan saya perlu menyesuaikan jari-jemari untuk menaip pada kadar yang saya biasa lakukan.

Tetapi ini hanyalah satu aduan kecil yang saya ada mengenai papan kekunci ini. Ia masih lagi memberikan saya pengalaman menaip yang cukup selesa sendiri dimana saya hanya perlu biasakan diri dengan sejumlah masalah “typo” yang sedikit apabila saya mula-mula menggunakannya.
Spesifikasi Dan Pengalaman Pengguna
Waktu pelancaran siri tablet dan komputer riba Microsoft Surface yang agak kekok apabila dibandingkan dengan pelancaran komponen CPU yang baru menyebabkan siri peranti ini dilancarkan pada penghujung hayat kitaran CPU Intel dan juga AMD.

Microsoft Surface Laptop 5 yang diterima oleh kami untuk ulasan ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-1255U dengan penawaran memori 16GB dan juga storan 512GB. Jika anda memerlukannya, anda juga boleh mendapatkan pilihan memori dan juga kapasiti storan yang lebih tinggi jika diingini.
Untuk penggunaan produktiviti pejabat, khususnya bagi saya yang menggunakan komputer riba ini untuk tujuan menulis laporan-laporan harian dan mengedit gambar-gambar harian, Surface Laptop 5 ini kelihatan seperti sebuah komputer riba yang keterlaluan untuk tujuan tersebut.

Tetapi saya juga selalu mengatakan bahawa komputer riba yang overkill ialah sebuah komputer riba yang anda tidak akan mengadu tentang perkara yang penting seperti kecekapan dan juga prestasi. Saya juga pasti bahawa komputer riba ini juga cukup berkuasa untuk tujuan yang lebih teknikal seperti mengedit video, menghasilkan karya seni digital, memproses data dan sebagainya.
Seperti semua peranti Microsoft Surface sebelum ini, ia juga hadir dengan pengecasan Surface Connect 65W, tetapi untuk model-model terbaru ini, pengguna juga boleh menggunakan pengecasan USB-C untuk mengecas komputer riba ini.
Satu isu yang saya ada mengenai komputer riba ini ialah walaupun ia mempunyai rekaan besar yang sepatutnya boleh memuatkan jumlah palam yang lebih banyak, Surface Laptop 5 ini hanya mempunyai satu palam USB Type-C yang merupakan palam Thunderbolt 4/USB 4, satu palam USB Type-A dan satu palam audio 3.5mm.

Secara ringkasnya jika anda memerlukan lebih dari satu palam USB Type-C dan Type-A, anda akan perlu membeli aksesori palam tambahan untuk digunakan bersama-sama komputer riba ini.
Jika anda seorang yang sering bekerja dari rumah ataupun di luar pejabat, ini akan membantu dalam mengurangkan jumlah palam pengecasan yang perlu dibawa bersama-sama. Jika anda memiliki sebuah pengecas multiport GaN, salah satu palam tersebut boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini tanpa sebarang masalah.
Audio
Dari segi kualiti audio, Surface Laptop 5 hadir dengan pembesar suara Omnisonic di bahagian sisi komputer riba ini yang juga mempunyai sokongan Dolby Atmos.
Tidak ada banyak yang boleh saya katakan mengenai pembesar suara ini kecuali bahawa ia mempunyai kualiti yang cukup baik sekali untuk pelbagai jenis tujuan, termasuklah mendengar lagu, menonton video dan juga apabila anda berada dalam sesi telesidang.
Ia juga cukup lantang dimana seluruh kawasan ruang tamu bersaiz sederhana boleh mendengarnya, tetapi ia tidaklah terlalu kuat dimana audio yang keluar daripada pembesar suaranya pecah kerana kelantangan yang terlalu tinggi.
Tetapi saya akan mengatakan juga bahawa tahap bass pembesar suara terbina ini tidaklah begitu kuat, tetapi ini mungkin adalah komplen yang sedikit keterlaluan untuk pakej komputer riba ini.
Bateri
Jangkahayat bateri Surface Laptop 5 ini sepanjang penggunaan saya adalah sekitar 8-9 jam dengan pengecasan penuh dan nilai kecerahan paparan ditetapkan pada sekitar 50 peratus.
Terdapat laporan yang mengatakan bahawa jangkahayat komputer riba ini tidak sebaik komputer riba Surface Laptop 4 yang mempunyai jangkahayat bateri yang melangkaui 10 jam. Pada hemat saya, penggunaan cip pemprosesan yang lebih terkini, berkuasa dan mempunyai ciri-ciri baru yang boleh dimanfaatkan pengguna mungkin ada manfaatnya dengan jangkahayat bateri yang 2-3 jam lebih rendah berbanding sebelum ini.
Dalam Kotak
Tidak banyak yang ditawarkan didalam kotak komputer riba Microsoft Surface Laptop 5 ini walaupun ia hadir dengan tanda harga yang agak premium.

- Microsoft Surface Laptop 5
- Pengecas Surface Connect
- Kabel kepala 3-pin
- Buku manual
Kesimpulan
Jika anda mahukan sebuah komputer riba produktiviti dengan rekaan serba premium dan mempunyai wang untuk memilikinya, Microsoft Surface Laptop 5 mungkin salah satu pilihan yang boleh anda pertimbangkan.

Komputer riba ini tiada masalah langsung dari segi prestasi, jangkahayat bateri dan juga kemudahan untuk dibawa kemana-mana untuk produktiviti didalam dan juga diluar pejabat. Akan tetapi jika anda seorang yang perlu memasang lebih dari satu peranti kepada komputer anda secara berwayar, pilihan palam yang terhad pada komputer riba ini akan menyukarkan keputusan anda.
PRO dan kelebihan
- Rekaan komputer riba yang anggun
- Paparan skrin PixelSense yang sentiasa memberi warna yang ranggi
- Prestasi hebat
- Jangkahayat bateri yang panjang
- Pengecasan USB-C
KONTRA dan kekurangan
- Jarak diantara kekunci yang sedikit kekok
- Pilihan palam yang terlalu terhad
- Tanda harga mampu lihat

The post Ulasan – Produktiviti Kelas Premium Bersama Microsoft Surface Laptop 5 first appeared on Amanz.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source link